DSA, NATSEC Asia : Ketengahkan strategi baharu tangani cabaran keselamatan semasa




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan

 






KUALA LUMPUR, Rabu, 8 Mei. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, telah mengetuai delegasi Kementerian Pertahanan ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) Ke-18, 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 Ke-3, yang berlangsung dari 6 hingga 9 Mei 2024, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Putrajaya Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.


Turut sama dalam rombongan berkenaan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Yang Mulia Mohd. Aizul Hakim bin Pehin Orang Kaya Indra Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.


Upacara pembukaan DSA Ke-18 2024 dan NATSEC Asia 2024 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim.


Pameran DSA Ke-18 2024 mempamerkan peralatan dan teknologi canggih dalam pertahanan darat, udara, dan laut, robot tempur, pertahanan dan keselamatan siber, bantuan bencana dan menyelamat, Unmanned Aerial Vehicles (UAVs), dan perubatan medan tempur, bagi menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin industri global.


Sementara NATSEC Asia 2024 mempamerkan peralatan untuk penguatkuasaan undang-undang, penjagaan kesihatan medan tempur, platform berasaskan laut, dan sistem latihan, dengan matlamat untuk menangani cabaran keselamatan serantau serta memupuk kerjasama dalam bidang pertahanan.


Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah berpeluang mengadakan perjumpaan dua hala secara berasingan dengan Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin.


Semasa perjumpaan tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyampaikan tahniah atas kejayaan pelaksanaan DSA 2024 dan NATSEC 2024 pada tahun ini.


Kedua-dua pihak juga turut menekankan hubungan pertahanan yang kukuh, membincangkan pelbagai isu dua hala dan strategik yang berkepentingan bersama dan seterusnya mengulangi komitmen untuk meluaskan lagi usaha sama pertahanan di antara kedua-dua buah negara.


Pameran DSA Ke-18 2024 dan NATSEC Asia 2024 menyaksikan penyertaan lebih 1,200 syarikat dari 45 negara, memfokuskan kepada pembangunan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa.


Edisi tahun ini mengetengahkan pelbagai strategi baharu dalam menangani cabaran keselamatan semasa termasuk pertahanan siber.


Kedua-dua DSA dan NATSEC Asia menyediakan peluang untuk perkongsian pengetahuan dan idea, serta pertukaran bersama daripada negara-negara yang mengambil bahagian yang turut menyumbang secara signifikan ke arah masa depan yang lebih selamat dan terjamin.


Close